Sunday, October 24, 2010

KIAMAT SEMAKIN DEKAT= ADAKAH KITA BERSEDIA???

Sejak akhir-akhir ini, kita banyak mendengar dan melihat pelbagai peristiwa yang berlaku membawa bencana kepada bumi. Pelbagai ramalan dan anggaran yang menyatakan kiamat akan berlaku tidak lama lagi. Persoalannya sekarang adakah kita bersedia menghadapi hari kiamat yang mempunyai banyak dugaan dan cabaran?? Mampukah iman dan amal kita dapat menangkis semua cabaran dan dugaan hari kiamat yang akan berlaku??Sedarkah kita bahawa kita sedang berada dunia akhir zaman yang mempunyai pelbagai fitnah???

Persoalan ini akan timbul di fikiran kita sekiranya diamati betul-betul dan seterusnya menjadi pedoman dan renungan bagi meniti kehidupan sebagai hamba yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Pada waktu sekarang telah banyak sekali tanda-tanda kecil tentang kiamat semakin hampir telah timbul. Tetapi kita sebagai umat akhir zaman masih lagi alpa dan leka dengan kemewahan serta kenikmatan dunia yang sementara walaupun telah banyaknya berlaku peristiwa yang menandakan kiamat hampir berlaku. Antaranya ialah peperangan di sana-sini, peristiwa tsunami, banjir besar, gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:

Dari Anas r.a katanya:”Akan kusampaikan kepadamu sebuah hadith yang tidak akan disampaikan orang kepadamu sepeninggalanku. Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Di antara tanda-tanda kiamat ialah: berkurangnya ilmu, meratanya kebodohan, berlakunya (merebaknya) perzinaan dan banyaknya perempuan serta sedikitnya lelaki sehingga bagi lima puluh perempuan hanya seorang pengawalnya.”
(Bukhari)

Hadis telah menerangkan kepada kita tentang tanda-tanda kiamat akan hampir dan berlaku. Tanda-tanda ini telah jelas dan nyata berlaku pada zaman kita ini iaitu kurangnya ilmu pengetahuan, ahli maksiat diagungkan dan ulamak dipinggirkan, penzinaan berleluasa, ramai wanita daripada lelaki dan sebagainya.

Sebelum berlakunya kiamat, akan timbul tanda-tanda besar kiamat. Sebagaimana hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim daripada Hudzaifah bin Usaid Al-Ghifarri, dia berkata:
Rasulullah s.a.w pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang. Lalu, Baginda bertanya, “Apakah yang kamu sedang bincangkan?” Mereka(para sahabat) menjawab, “ Kami sedang berbincang mengenai as-Sa’ah (hati kiamat)”. Baginda bersabda, “Sesungguhnya kiamat tidak akan datang sehingga kamu melihat sepuluh ayat (tanda) sebelumnya. Baginda kemudiannya menyatakan: 1) Ad-Dukhan (asap/kabut), 2) Dajal (pendusta), 3) Daabaah (binatang yang akan keluar dari perut bumi), 4) matahari terbit dari (sebelah barat, 5)turunya Isa Ibnu Maryam a.s., 6) Yakjuj dan Makjuj, 7-9) tiga gempa bumi, iaitu di timur, barat dan Semenanjung Arab, dan yang terakhir adalah 10) keluarnya api dari Yaman yang membawa manusia ke tempat mereka berkumpul.” ( Sahih Muslim,Bahagian Fitnah dan Tanda-tanda Kiamat 18:27-28).

Mengenai tanda-tanda itu, maka jelaslah Rasulullah mengingatkan kepada manusia supaya selalu bersegera dalam melakukan kebaikan supaya terselamat dari bencana-bencana tersebut. Imam Muslim merekodkan daripada Abu Hurairah Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya enam perkara, iaitu: Dajal dan ad-Dukhan(asap), binatang melata di bumi, terbitnya matahari dari sebelah barat, kehancuran total, kematianmu sendiri”. (Sahih Muslim, Bab fi Baqiyyah Min Ahaadiitsi Ad-Dajjaal 18:87)

Akhir kalam, saya ingin menyeru kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian supaya melakukan kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan dan maksiat. Tuntutlah ilmu agama dengan guru-guru yang mursyid supaya dapat melawan serta menangkis segala cabaran dan dugaan di dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah. Beramallah dengan ikhlas berdasarkan ilmu yang diperolehi dan jagalah diri dan keluarga dari segala fitnah dunia supaya terselamat dari azab api neraka. Jauhilah sifat cintakan dunia dan takutkan mati kerana ia akan menyebabkan kita alpa bahawa kita akan meninggalkan dunia ini. Sedarlah wahai temanku hidup ini hanya sementara dan segala perbuatan kita akan dinilai disisi Allah S.W.T. Cukupkah amal kita untuk masuk ke syurga Allah?
Wallahua’lam…..Wassalam…

No comments:

Post a Comment