Sunday, August 15, 2010

MASALAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA??? SENI SILAT SEBAGAI PENYELESAIANNYA….

Sejak kebelakangan ini, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja di negara ini semakin membimbangkan. Punca yang menyebabkan berlakunya gejala sosial ialah pengaruh yang negatif di dalam dan luar negara. Hal ini berlaku kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah ini. Masalah gejala sosial tidak boleh disalahkan kepada satu pihak sahaja. Semua pihak seperti ibu bapa, guru dan pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan masalah gejala sosial yang semakin membimbangkan.

Salah satu cara atau kaifiat yang saya boleh kongsikan bagi menyelesaikan gejala sosial dalam kalangan remaja ialah dengan mempelajari seni silat. Seni silat ialah merupakan seni warisan orang Melayu yang patut kita pertahankan supaya tidak lenyap di dunia ini. Ungkapan yang dapat dibuat ialah “Takkan Silat Hilang di Dunia”. Rasulullah s.a.w. juga menyuruh umatnya supaya mempelajari memanah, berenang dan menunggang kuda. Oleh itu, mempelajari seni mempertahankan diri juga termasuk di dalam mempelajari memanah, berenang dan menunggang kuda. Hal ini kerana seni mempertahankan diri dapat salah satuincara kita untuk memperthankan diri,keluarga dan agama.

Di sini saya ceritakan sedikit mengenai sejarah Seni Silat Gayung Fatani yang merupakan seni silat yang sedang dipelajari. Seni Gayung Fatani diasaskan oleh Syeikh Abd. Rahman Tahir yang dikenali sebagai Lebai Rambut Panjang. Beliau berasal Pattani (Fathani dalam ejaan lama) di selatan Thailand. Sebagai seorang yang alim yang memiliki ilmu persilatan, beliau dapat menggunakan ilmunya membentuk masyarakat menghampirkan diri kepada Allah. Iaitu masyarakat yang dapat bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan negara. Gelaran Lebai Rambut Panjang timbul kerana beliau memiliki rambut yang separas bahu sesuai badannya sasa dan tinggi lampai. Dengan sedikit sejarah yang seni Silat Gayung Fatani yang dipaparkan, dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa ulamak menggunakan seni silat sebagai medium dakwah di dalam berdakwah. Kesannya, ramai orang yang tertarik dengan Islam dan mempelajarinya hasil daripada belajar seni silat.

Di samping itu, seni silat juga mengajar erti jihad. Dengan mempelajari seni silat, kita diajar untuk bersikap berjuang untuk mempertahankan diri, keluarga dan agama Islam. Konsep seni Silat Gayung Fatani ialah Seni Silat adalah ilmu yang dapat membentuk manusia ke arah sifat mulia sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Seni Silat juga menjadi teras di dalam diri bagi memikul tugas untuk diri, masyarakat dan negara. Di dalam falsafah Seni Silat Gayung Fatani sendiri ialah membunuh itu berdosa dan mempertahankan diri itu wajib. Falsafah ini jelas menunjukkan kepada kita kepentingan berjihad yang telah diajar oleh seni silat.

Selain itu, sempurna silat apabila Islam juga merupakan falsafah Seni Silat Gayung Fatani. Seseorang yang mempelajari seni silat khususnya Seni Silat Gayung Fatani sebaiknya adalah seorang yang beragama Islam. Hal ini demikian kerana sebelum memulakan “bukak gelanggang” penuntut Seni Silat Gayung Fatani mestilah membaca al-Fatihah, syahadat, selawat, Qaula dan niat belajar silat kerana Allah. Ramai orang Eropah seperti dari Belgium, Perancis dan sebagainya setelah mempelajari Seni Silat akhirnya memasuki Islam dengan izin Allah s.w.t.

Seni Silat merupakan seni warisan bangsa Melayu. Kita sebagai mempelajari dan mempelajarinya supaya ianya kekal dan dapat diturunkan kepada generasi yang akan datang. Seni Silat juga memainkan peranan yang penting dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu. Ulamak yang memperkembangkan Islam di nusantara Tanah Melayu telah menggunakan Seni Silat seperti ulamak di Terengganu dan Tuan Guru di pondok dan pesantren. Oleh itu, dengan mempelajari Seni Silat dapat menyelesaikan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja kerana ia memupuk sikap sabar dan berdisplin di samping sebagai medium dakwah supaya orang ramai mendekati dan menghayati Islam.

No comments:

Post a Comment