Sunday, October 24, 2010

KIAMAT SEMAKIN DEKAT= ADAKAH KITA BERSEDIA???

Sejak akhir-akhir ini, kita banyak mendengar dan melihat pelbagai peristiwa yang berlaku membawa bencana kepada bumi. Pelbagai ramalan dan anggaran yang menyatakan kiamat akan berlaku tidak lama lagi. Persoalannya sekarang adakah kita bersedia menghadapi hari kiamat yang mempunyai banyak dugaan dan cabaran?? Mampukah iman dan amal kita dapat menangkis semua cabaran dan dugaan hari kiamat yang akan berlaku??Sedarkah kita bahawa kita sedang berada dunia akhir zaman yang mempunyai pelbagai fitnah???

Persoalan ini akan timbul di fikiran kita sekiranya diamati betul-betul dan seterusnya menjadi pedoman dan renungan bagi meniti kehidupan sebagai hamba yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Pada waktu sekarang telah banyak sekali tanda-tanda kecil tentang kiamat semakin hampir telah timbul. Tetapi kita sebagai umat akhir zaman masih lagi alpa dan leka dengan kemewahan serta kenikmatan dunia yang sementara walaupun telah banyaknya berlaku peristiwa yang menandakan kiamat hampir berlaku. Antaranya ialah peperangan di sana-sini, peristiwa tsunami, banjir besar, gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:

Dari Anas r.a katanya:”Akan kusampaikan kepadamu sebuah hadith yang tidak akan disampaikan orang kepadamu sepeninggalanku. Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Di antara tanda-tanda kiamat ialah: berkurangnya ilmu, meratanya kebodohan, berlakunya (merebaknya) perzinaan dan banyaknya perempuan serta sedikitnya lelaki sehingga bagi lima puluh perempuan hanya seorang pengawalnya.”
(Bukhari)

Hadis telah menerangkan kepada kita tentang tanda-tanda kiamat akan hampir dan berlaku. Tanda-tanda ini telah jelas dan nyata berlaku pada zaman kita ini iaitu kurangnya ilmu pengetahuan, ahli maksiat diagungkan dan ulamak dipinggirkan, penzinaan berleluasa, ramai wanita daripada lelaki dan sebagainya.

Sebelum berlakunya kiamat, akan timbul tanda-tanda besar kiamat. Sebagaimana hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim daripada Hudzaifah bin Usaid Al-Ghifarri, dia berkata:
Rasulullah s.a.w pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang. Lalu, Baginda bertanya, “Apakah yang kamu sedang bincangkan?” Mereka(para sahabat) menjawab, “ Kami sedang berbincang mengenai as-Sa’ah (hati kiamat)”. Baginda bersabda, “Sesungguhnya kiamat tidak akan datang sehingga kamu melihat sepuluh ayat (tanda) sebelumnya. Baginda kemudiannya menyatakan: 1) Ad-Dukhan (asap/kabut), 2) Dajal (pendusta), 3) Daabaah (binatang yang akan keluar dari perut bumi), 4) matahari terbit dari (sebelah barat, 5)turunya Isa Ibnu Maryam a.s., 6) Yakjuj dan Makjuj, 7-9) tiga gempa bumi, iaitu di timur, barat dan Semenanjung Arab, dan yang terakhir adalah 10) keluarnya api dari Yaman yang membawa manusia ke tempat mereka berkumpul.” ( Sahih Muslim,Bahagian Fitnah dan Tanda-tanda Kiamat 18:27-28).

Mengenai tanda-tanda itu, maka jelaslah Rasulullah mengingatkan kepada manusia supaya selalu bersegera dalam melakukan kebaikan supaya terselamat dari bencana-bencana tersebut. Imam Muslim merekodkan daripada Abu Hurairah Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya enam perkara, iaitu: Dajal dan ad-Dukhan(asap), binatang melata di bumi, terbitnya matahari dari sebelah barat, kehancuran total, kematianmu sendiri”. (Sahih Muslim, Bab fi Baqiyyah Min Ahaadiitsi Ad-Dajjaal 18:87)

Akhir kalam, saya ingin menyeru kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian supaya melakukan kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan dan maksiat. Tuntutlah ilmu agama dengan guru-guru yang mursyid supaya dapat melawan serta menangkis segala cabaran dan dugaan di dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah. Beramallah dengan ikhlas berdasarkan ilmu yang diperolehi dan jagalah diri dan keluarga dari segala fitnah dunia supaya terselamat dari azab api neraka. Jauhilah sifat cintakan dunia dan takutkan mati kerana ia akan menyebabkan kita alpa bahawa kita akan meninggalkan dunia ini. Sedarlah wahai temanku hidup ini hanya sementara dan segala perbuatan kita akan dinilai disisi Allah S.W.T. Cukupkah amal kita untuk masuk ke syurga Allah?
Wallahua’lam…..Wassalam…

Saturday, October 23, 2010

ASAL USUL SENI GAYUNG FATANI!!!KAITANNYA DENGAN ISLAM...

Seni Gayung Fatani diasaskan oleh Syeikh Abd.Rahman Bin Tahir yang dikenali sebagai Lebai Rambut Panjang. Beliau berasal dari Pattani (Fathani ejaan lama) di selatan Thailand. Berhijrah ke negeri Kedah kira-kira awal tahun 1890-an. Sebagai seorang alim yang memiliki ilmu persilatan,beliau dapat menggunakan ilmunya membentuk masyarakat menghampirkan diri kepada Allah. Iaitu masyarakat yang dapat bertanggungjawab kepada diri,masyrakat dan negara. Gelaran Lebai Rambut Panjang timbul kerana beliau memiliki rambut yang panjang separas bahu sesuai dengan susuk tubuhnya yang sasa dan tinngi lampai.

Sehubungan dengan usaha mengembangkan ilmu persilatan, beliau membuka gelanggang silih berganti. Kini terbukti dengan ramainya pendekar dan gurur seni silat yang dihasilkan masih gigih mengembangkan aliran perguruan ini. Keistimewaan aliran perguruan ini menjadi nyata apabila aliran perguruan ini menjadi perguruan terkemuka dan berkembang ke seluruh dunia apabila munculnya kepimpinan Allahyarham Haji Anuar Haji Abdul Wahab sebagai seorang yang bertanggungjawab mengasaskan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.

Masyarakat di Utara Semenanjung,Thailand,Kemboja,Burma dan Vietnam telah lama mengamalkan jenis perguruan ini sejak zaman keagungan kerajaan Melayu Lama. Sehingga kini aliran perguruan ini dikenali di kalangan pendekar sebagai "Gayung".

Asal usul nama Gayung Petani (Pattani/Fathani/Fatani) menurut Tuan Haji Ramli Abd.Rahman (anak kepada Syeikh Abd.Rahman) dan telah dipersetujui oleh seluruh guru-guru dan pendekar adalah sempena nama negeri asal pengasasnya iaitu Negeri Petani(sebuah negeri Melayu di Selatan Thailand), kini sebuah daerah yang ramai didiami masyarakat Melayu Islam.

Namun perkataan "gayung" adalah berasal dari Melayu Tanah Pagar Ruyung. Hasil gabungan perkataan ilmu "Gayung" dan Silat Petani lahirlah "Gayung Fatani". Dengan persetujuan seluruh Guru-guru Tua,Ahli-ahli Tua, Guru Utama dan Dato' Sri Haji Kamaruddin Mohd Isa (seorang murid tua) serta Jawatankuasa penubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia bersetuju aliran perguruan ini didaftarkan dengan nama "SENI GAYUNG FATANI".

video

ORANG PUTIH VS ORANG MELAYU= SIAPA PANDAI SILAT??

SENI GAYUNG FATANI DI EROPAH

Seni gayung fatani telah berkembang di eropah dengan usaha En. Abd. Rahman Ismail melatih jurulatih Ausria. Jurulatih tersebut telah membuka gelanggang (school) di beberapa tempat di eropah.

Sesungguhnya semua kejayaan sejak dari awal hingga ke hari ini adalah hasil kegigihan,keazaman,dan sikap kerjasama dari seluruh ahli perguruan ini. Bagi pihak Guru-guru Tua,Guru Utama dan ahli jawatankuasa,SGFM mengharapkan semoga usaha murni ini diteruskan mengikut kemampuan masing-masing. video




RAMAI DI ANTARA PESILAT GAYUNG FATANI DI EROPAH MEMELUK ISLAM!!!!

Hal ini terbukti apabila orang eropah yang mempelajari seni gayung fatani memeluk islam.Di dalam seni gayung Fatani itu sendiri mengamalkan kerohanian islam dan tidak bercanggah dengan Islam itu sendiri.Selain itu falsafah Gayung Fatani sendiri iaitu "SEMPURNA SILAT APABILA ISLAM".
Oleh itu, kita sebagai orang Melayu seharusnya berbangga dengan harta pusaka nenek moyang kita iaitu seni Silat. Siapalah lagi yang hendak belajar dan memperkembangkan seni silat ini. kalau bukan kita bangsa Melayu sendiri. Jamganlah kita mudah alpa dan leka serta membanggakan seni mempertahankan diri yang lain. Akibatnya seni warisan MelAYU iaitu Silat sendiri kita tinggalkan dan lupakan padahal ia merupakan salah satu ilmu perang yang dituntut ileh Islam yang telah dibawa oleh ulamak-ulamak zaman silam..Wahai bangsaku!!!!Bersama-samalah renungkan...

Monday, August 23, 2010

USTAZ VS WANITA SEKSI

Pada hari ini,telah masuknya 6 Ramadhan 1431 Hijrah iaitu genapnya selama enam hari aku menunaikan ibadah puasa. Hati ini rasa sangat bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa dengan sebaiknya. Walaupun tidak sama dengan puasa ketika di kampung halaman yang bersama-sama dengan ayahnda dan ibunda dan keluarga yang tercinta. Pada waktu dan saat ini, aku berada di Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi mahasiswa tahun akhir pengajian Islam di Fakulti Pengajian Islam.

Pelbagai ilmu dan pengalaman yang aku perolehi ketika aku berada di sini. Tidak kurang juga kenangan yang manis dan pahit yang aku dapat terutamanya ketika dengan bersama-sama dengan sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat ketika di universiti berbanding sahabat di sekolah adalah sangat berbeza sekali kerana mereka sangat memahami diri ini. Pada petang 6 Ramadhan, rakanku Khairul telah merancang untuk pergi berbuka puasa di sebuah kedai makan iaitu Restoran Sup Urat Keting di sekskyen 7, Bangi, Selangor. Restoran ini agak terkenal kerana selalu keluar di dalam suratkhabar Kosmo. Hal ini telah menyebabkan aku tertarik untuk berbuka puasa bersama-sama kawan di sana.

Sampainya di Restoran Sup Urat Keting itu, aku bersama sahabat-sahabatku mencari tempat untuk duduk dan berbuka puasa di sana.Kami memesan makanan untuk berbuka puasa. Masing-masing telah memesan makanan dan menu utama yang telah dipesan ialah pelbagai jenis sup seperti sup urat keting,sup daging dan macam-macam lagi. Aku dengan pesanan yang tersendiri iaitu sup urat keting. Sebelum ini aku tidak pernah merasa sup urat keting dan ingin mencubanya. Kami bersembang sebelum menunggu pesanan yang diminta sampai.Semasa menunggu pesanan sampai, saya melihat dua pasangan remaja lelaki dan perempuan makan di situ juga. Pasangan tersebut tanpa segan silu keluar bersama seperti orang yang sudah berkahwin. Pakaian yang dipakai oleh dua remaja perempuan tersebut menjolok mata dan tidak menutup aurat. Adakah mereka tidak tahu atau sedar yang mereka sedang berada di bulan yang mulia iaitu Ramadhan???Tidak takutkah mereka bahawa azab Allah???moga-moga mereka diberikan hidayah dan pengampunan dari Allah s.w.t. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bemaksud:

Dan hendaklah kamu tetap diam di Rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara Yang mencemarkan diri kamu - Wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara Yang keji).

Islam juga telah mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna sepertimana firman Allah di dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani.

Jelaslah di sini bahawasanya menutup aurat merupakan suruhan daripada Allah yang wajib dipatuhi.Kita akan mendapat kesan yang baik dan dapat mengelakkan dari perkara buruk dari terus berlaku...

Akhir kata,saya tujukan kata-kata ini khas untuk golongan wanita...

Wanita,
Adakah anda tahu????
Setiap lelaki yang melihat auratmu dengan sengaja akan berdosa....
Tetapi adakah anda tahu???wanita yang memperlihatkan auratnya dengan sengaja pula akan menanggung 2 kali ganda daripada dosa mereka iaitu dosa mendedahkan aurat
dan dosa menyebabkan mereka ghairah melihat anda...

Adakah anda rasa gaya yang ditonjolkan oleh anda tidak dapat menggoyahkan iman mereka???
dan bolehkah anda mengagak berapa kerapkah dosa yang telah anda kumpul???

Renung-renungkanlah wahai umat Islam akhir zaman sekalian....

Sunday, August 15, 2010

MASALAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA??? SENI SILAT SEBAGAI PENYELESAIANNYA….

Sejak kebelakangan ini, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja di negara ini semakin membimbangkan. Punca yang menyebabkan berlakunya gejala sosial ialah pengaruh yang negatif di dalam dan luar negara. Hal ini berlaku kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah ini. Masalah gejala sosial tidak boleh disalahkan kepada satu pihak sahaja. Semua pihak seperti ibu bapa, guru dan pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan masalah gejala sosial yang semakin membimbangkan.

Salah satu cara atau kaifiat yang saya boleh kongsikan bagi menyelesaikan gejala sosial dalam kalangan remaja ialah dengan mempelajari seni silat. Seni silat ialah merupakan seni warisan orang Melayu yang patut kita pertahankan supaya tidak lenyap di dunia ini. Ungkapan yang dapat dibuat ialah “Takkan Silat Hilang di Dunia”. Rasulullah s.a.w. juga menyuruh umatnya supaya mempelajari memanah, berenang dan menunggang kuda. Oleh itu, mempelajari seni mempertahankan diri juga termasuk di dalam mempelajari memanah, berenang dan menunggang kuda. Hal ini kerana seni mempertahankan diri dapat salah satuincara kita untuk memperthankan diri,keluarga dan agama.

Di sini saya ceritakan sedikit mengenai sejarah Seni Silat Gayung Fatani yang merupakan seni silat yang sedang dipelajari. Seni Gayung Fatani diasaskan oleh Syeikh Abd. Rahman Tahir yang dikenali sebagai Lebai Rambut Panjang. Beliau berasal Pattani (Fathani dalam ejaan lama) di selatan Thailand. Sebagai seorang yang alim yang memiliki ilmu persilatan, beliau dapat menggunakan ilmunya membentuk masyarakat menghampirkan diri kepada Allah. Iaitu masyarakat yang dapat bertanggungjawab kepada diri, masyarakat dan negara. Gelaran Lebai Rambut Panjang timbul kerana beliau memiliki rambut yang separas bahu sesuai badannya sasa dan tinggi lampai. Dengan sedikit sejarah yang seni Silat Gayung Fatani yang dipaparkan, dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa ulamak menggunakan seni silat sebagai medium dakwah di dalam berdakwah. Kesannya, ramai orang yang tertarik dengan Islam dan mempelajarinya hasil daripada belajar seni silat.

Di samping itu, seni silat juga mengajar erti jihad. Dengan mempelajari seni silat, kita diajar untuk bersikap berjuang untuk mempertahankan diri, keluarga dan agama Islam. Konsep seni Silat Gayung Fatani ialah Seni Silat adalah ilmu yang dapat membentuk manusia ke arah sifat mulia sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Seni Silat juga menjadi teras di dalam diri bagi memikul tugas untuk diri, masyarakat dan negara. Di dalam falsafah Seni Silat Gayung Fatani sendiri ialah membunuh itu berdosa dan mempertahankan diri itu wajib. Falsafah ini jelas menunjukkan kepada kita kepentingan berjihad yang telah diajar oleh seni silat.

Selain itu, sempurna silat apabila Islam juga merupakan falsafah Seni Silat Gayung Fatani. Seseorang yang mempelajari seni silat khususnya Seni Silat Gayung Fatani sebaiknya adalah seorang yang beragama Islam. Hal ini demikian kerana sebelum memulakan “bukak gelanggang” penuntut Seni Silat Gayung Fatani mestilah membaca al-Fatihah, syahadat, selawat, Qaula dan niat belajar silat kerana Allah. Ramai orang Eropah seperti dari Belgium, Perancis dan sebagainya setelah mempelajari Seni Silat akhirnya memasuki Islam dengan izin Allah s.w.t.

Seni Silat merupakan seni warisan bangsa Melayu. Kita sebagai mempelajari dan mempelajarinya supaya ianya kekal dan dapat diturunkan kepada generasi yang akan datang. Seni Silat juga memainkan peranan yang penting dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu. Ulamak yang memperkembangkan Islam di nusantara Tanah Melayu telah menggunakan Seni Silat seperti ulamak di Terengganu dan Tuan Guru di pondok dan pesantren. Oleh itu, dengan mempelajari Seni Silat dapat menyelesaikan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja kerana ia memupuk sikap sabar dan berdisplin di samping sebagai medium dakwah supaya orang ramai mendekati dan menghayati Islam.